Saturday, April 30, 2011

Kewangan Islam Malaysia capai standard dunia


 

MALAYSIA memiliki rangka kerja kawal selia dan tadbir urus kewangan Islam lengkap yang boleh dijadikan penanda aras sebagai standard dunia, kata Ketua Kewangan Islam Global Deloitte, Daud Vicary Abdullah.

“Malaysia hari ini adalah peneraju dalam kewangan Islam dan ini memberikannya platform untuk bergerak lebih maju di peringkat global,” katanya sambil menekankan kewangan Islam kini menjadi komponen semakin penting dalam sistem kewangan antarabangsa.

Beliau berkata demikian kepada media pada satu siri ceramah berhubung Pengajaran Tadbir Urus Korporat Bagi Institusi Kewangan Islam anjuran Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF) di Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, Daud berkata, Malaysia perlu sentiasa memastikan ia mematuhi peraturan global bagi membolehkannya sentiasa menjadi pendahulu dalam bidang itu.

Ditanya kenapa Malaysia, selaku negara Islam dan adalah peneraju dalam kewangan Islam, hanya berada di kedudukan ke-34 dalam senarai Global Islamic Cities Index tahun lalu, beliau berkata, terdapat faktor lain yang diambil kira dalam kaji selidik dijalankan pelajar George Washington University itu.

Antara faktor yang diambil kira, katanya ialah ketelusan, tadbir urus korporat, pengurusan risiko, tanggungjawab, kebebasan akhbar, hak asasi manusia, hak demokrasi dan tadbir urus undang-undang.

“New Zealand berada di tangga teratas diikuti Luxembourg, manakala Malaysia berada di kedudukan teratas dikalangan negara Islam.

“Negara bukan Islam itu mengatasi negara Islam berikutan pelaksanaan kemahirannya yang cemerlang.” katanya.

Idea Global Islamic Cities Index bertujuan mewujudkan indeks yang menyukat kesenangan dan kemudahan mengamalkan Islam di bandar-bandar utama di seluruh dunia.

Berita Harian, 30 April 2011

Sunday, April 24, 2011

Takaful Ikhlas Perlukan Pelabur Baharu

'Kami perlukan pelabur baharu'

KUALA LUMPUR 24 April - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) memerlukan rakan pelabur baharu bagi meningkatkan modal operasi dan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa pada masa depan.

Anak syarikat MNRB Holdings Bhd. (MNRB) tersebut kini menjadi pengendali takaful ketiga terbesar di Malaysia selepas eTiQa dan Takaful Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi MNRB, Datuk Ramlan Abdul Rashid  berkata, suntikan dana sangat penting ketika ini bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pesat Takaful Ikhlas yang melebihi 25 peratus setahun.

"Baru-baru ini MNRB menerima kemudahan kredit tanpa cagaran sebanyak RM120 juta daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd. dengan kadar faedah 4.25 peratus setahun.

"Daripada jumlah itu, RM100 juta disalurkan kepada Takaful Ikhlas, jumlah itu masih belum mencukupi. Oleh itu, pelupusan kepentingan merupakan cara terbaik setakat ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia sempena penyertaannya dalam Minggu Saham Amanah Malaysia yang diadakan di Ipoh, Perak.

Sebelum ini, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki kepentingan dalam Takaful Ikhlas tetapi tidak kesampaian.

MNRB kini mengadakan perbincangan dengan Allianz Malaysia Bhd. (Allianz) dan dalam masa yang sama sedang diintai beberapa syarikat insurans terkemuka luar negara.

Ramlan, kemasukan pelabur asing boleh membantu Takaful Ikhlas menerokai pasaran antarabangsa melalui jaringan pasaran yang dimiliki oleh mereka.

''Mereka sangat menginginkan kepakaran dalam pengurusan insurans berlandaskan syariah ketika ini kerana pasarannya sangat besar dan berpotensi pada masa depan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi MNRB, Ramlan berkata, syarikat berkenaan akan meneruskan momentum pertumbuhan positif tahun ini bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac lalu.

''Keputusan kewangan akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang boleh saya perkatakan adalah perolehan kami akan melebihi RM1.8 bilion iaitu melebihi perolehan tahun lalu.

''Jangkaan Malaysian Re merupakan penyumbang utama dengan RM1.1 bilion, Takaful Ikhlas sebanyak RM680 juta, Retakaful sebanyak RM58 juta dan selebihnya adalah pulangan daripada pelaburan luar yang dibuat,'' jelasnya.

Ditanya mengenai impak bencana tsunami di Jepun kepada MNRB, beliau berkata, kesannya tidak besar kerana penglibatannya di Jepun hanya melibatkan 1.4 peratus daripada nilai pasaran insurans negara berkenaan.

Utusan, 25 April 2011

Thursday, April 21, 2011

Football Frenzy Strikes Ipoh! (eTiQa)


Minggu Saham Amanah Malaysia 2011
20 April 2011 - 26 April 2011
Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh



Wednesday, April 20, 2011

PNB kekal peneraju industri unit amanah

 

IPOH 19 April - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) masih kekal sebagai peneraju dalam industri unit amanah di negara ini biarpun menerima persaingan sengit dalam industri tersebut.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sehingga 2010, jumlah aset di bawah pengurusannya berjumlah RM185 bilion berbanding RM500 juta pada awal penubuhannya.
Menurut beliau, prestasi itu menunjukkan aset pengurusannya mencatatkan pertumbuhan 22 peratus pada setiap tahun.

''Jumlah agihan pendapatan dan bonus yang telah dibayar setakat 2010 ialah RM82 bilion berbanding RM76 juta pada 1981," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Malah beliau berkata, jumlah agihan PNB jauh lebih tinggi iaitu 16.8 peratus berbanding industri 16 peratus manakala nilai aset bersih (NAB) PNB pula sebanyak 20 peratus dan industri 17 peratus.
Katanya, penguasaan pasaran PNB pada 2010 juga tinggi iaitu 41 peratus berbanding 39 peratus pada 2004.

''Daripada prestasi ini jelas menunjukkan agihan PNB masih kompetitif berbanding pasaran," ujarnya.
Hamad Kama Piah berkata, walaupun PNB mampu mengekalkan prestasinya namun ia tidak pernah bercadang untuk mengubah struktur pelaburan yang dilaksanakan sekarang.

Utusan, 20 April 2011

Wasiat tak sah jika bertentangan syarak

Peguam Syarie Menulis: Wasiat tak sah jika bertentangan syarak

Dokumen perlu disimpan pewasiat, peguam syarie bagi elak pemalsuan

WASIAT adalah satu dokumen yang mempunyai kuat kuasa undang-undang membolehkan seseorang menentukan cara bagaimana harta bendanya dibahagi setelah berlaku kematian. 

Islam mensyaratkan wasiat kepada waris yang berhak menerima pusaka, tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan si mati dan tidak boleh dibuat bagi tujuan yang dilarang oleh syarak. 

Waris akan mendapat dua pertiga daripada pusaka secara faraid untuk dibahagikan sesama mereka. Oleh itu, wasiat kepada waris yang berhak menerima pusaka dikhuatiri mengganggu imbangan bahagian yang ditetapkan syarak.

Wasiat kepada ahli waris sama ada lebih satu pertiga atau tidak, adalah diharuskan dan menjadi sah menurut hukum syarak jika semua ahli waris yang berhak menerima pusaka bersetuju dengan wasiat berkenaan.

Persetujuan waris diambil kira ialah selepas kematian orang yang membuat wasiat, bukan sebelumnya. Jika salah seorang mempertikaikan atau tidak bersetuju, maka wasiat itu perlu disahkan di Mahkamah Syariah.

Mahkamah akan kembali kepada kaedah asal wasiat dalam Islam, iaitu tidak boleh kepada ahli waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati.

Seseorang pembuat wasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan menunjukkan niatnya (tersirat), dengan menjalankan urus niaga berkaitan harta diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.

Mutakhir ini, banyak syarikat menawarkan produk membuat wasiat kepada orang Islam. Sebelum menandatangani apa-apa dokumen wasiat, dapatkan nasihat peguam syarie atau mereka yang pakar mengenainya.

Dikhuatiri dokumen wasiat yang disediakan tidak memenuhi atau berlawanan dengan kehendak hukum syarak. Banyak kes berlaku, dokumen wasiat di bawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan, didapati tidak sah dan berlawanan hukum syarak.

Dokumen wasiat itu menjadi sia-sia sedangkan perbelanjaan besar dikeluarkan untuk penyediaan dokumen wasiat. Sebaiknya terus merujuk kepada peguam syarie yang arif untuk membuat surat wasiat menurut kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Wasiat menjadi tidak sah jika pelaksanaannya tidak betul, bertentangan hukum syarak, pewasiat tidak sihat akal dan tidak berkemampuan memahami apa dibuat semasa wasiat dilaksanakan, wasiat dibuat secara paksa atau di bawah pengaruh orang lain.

Wasiat yang dibuat perlu disimpan oleh pewasiat atau peguam syarie bagi menjamin tahap kerahsiaan dan mengelakkan daripada berlaku pemalsuan atau pindaan tanpa izin pembuat wasiat.

Wasiat sebaiknya disemak setiap enam bulan bagi membolehkan perubahan dibuat oleh pewasiat. Wasiat baru boleh dibuat bagi menggantikan atau membatalkan wasiat terdahulu.

Bagi memastikan wasiat mempunyai kuat kuasa undang-undang, maka ia hendaklah dibuat secara bertulis oleh pewasiat berumur 18 tahun ke atas, bukan benefisiari, suami atau isteri kepada benefisiari yang dinamakan dalam wasiat, ditandatangani dua saksi dan bertarikh.

Seruan membuat wasiat seperti mana firman Allah yang bermaksud: 
“Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang antara kamu kedatangan tanda-tanda maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, ini adalah kewajipan atas orang yang bertaqwa. Maka barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah ia mendengarnya, sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Akan tetapi barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tiadalah dosa baginya, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180-182)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling banyak ingatannya kepada kematian serta yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa’ dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya)
Wasiat dalam Islam berperanan mempercepatkan pentadbiran pusaka selepas si mati meninggal dunia, mengurangkan pertikaian antara waris, memastikan pembahagian harta si mati terpelihara menurut syarak dan untuk memelihara hak waris.

Wasiat juga membolehkan wasi ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat orang yang membuat wasiat, menentukan harta pewasiat diberikan kepada orang ditentukan sehingga masa ditetapkan menurut wasiat.

Pembahagian harta melalui wasiat juga mampu menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka dijamin melalui warisan yang ditinggalkan serta memastikan anak ditinggalkan kepada penjaga yang dipercayai.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat emel seksretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian, 20 April 2011



Saturday, April 16, 2011

Elakkan melabur dengan ejen haram - SC

 

KUALA LUMPUR 15 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggesa orang ramai supaya tidak menyerahkan wang kepada mana-mana ejen pelaburan yang tidak berlesen, biarpun dicadangkan oleh ahli keluarga dan rakan-rakan.

SC dalam kenyataannya di sini turut mendedahkan bahawa Uzir bin Abdul Samad, (IC No: 720824-01-5543) dan UAS Bistari Management Sdn. Bhd. (UAS) (806034-H) adalah ejen tidak berlesen.

SC berkata, Uzir dan UAS tidak diberikan lesen oleh SC untuk menjalankan sebarang aktiviti kawal selia, termasuk mendapatkan wang daripada orang ramai bagi pelaburan dalam sekuriti.

"Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik.

"Jika skim tersebut dikaitkan dengan pengantara berlesen, pelabur dinasihatkan supaya mengesahkan kesahihan skim tersebut dengan pengantara berlesen berkenaan atau dengan SC,'' kata SC.

Suruhanjaya itu juga berkata, individu yang tidak diberikan lesen oleh SC adalah tidak dibenarkan mengutip wang daripada orang lain bagi pelaburan dalam portfolio sekuriti bagi pihak mereka.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melabur dalam pasaran melalui akaun dagangan orang lain, termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan.

Sesiapa yang menjalankan aktiviti seperti itu tanpa lesen yang diperlukan boleh didakwa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Sekiranya sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan mengenai skim pelaburan, dinasihatkan supaya menghubungi Jabatan Hal Ehwal Pelabur dan Pengaduan SC melalui e-mel di aduan@seccom.com.my atau telefon: 03-62048999 dengan segera.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya hanya berurusan hanya dengan syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC sebagaimana yang disenaraikan di laman web SC: http://www.sc.com.my/.

Utusan, 16 April 2011

Friday, April 15, 2011

AHB beri dividen 2.17 sen seunit

 

AHB yang menawarkan dana berjumlah RM1 bilion sebelum ini telah habis dilanggan dalam tempoh tiga bulan selepas dilancarkan.

Jumlah agihan AHB itu mewakili pulangan tahunan sebanyak 6.5 peratus sekiranya berdasarkan penanda aras 12-bulan Akaun-i Pelaburan Am Maybank Islamic Bhd..

Pengarah Urusan Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB), Datuk Kamalul Arifin Othman berkata pengagihan itu melibatkan pembayaran RM19 juta yang akan dikreditkan terus kepada 60,000 pemegang unit amanah pada 18 April ini.

''Berdasarkan pertumbuhan nilai hartanah semasa, kami akan mengekalkan momentum pengagihan pendapatan untuk pengagihan seterusnya apabila tempoh berakhir 30 September depan.

''Kami merancang menambah saiz dana sebanyak RM500 juta unit lagi pada suku keempat tahun ini.
"Kami telah mengenal pasti dua hingga tiga hartanah yang akan dimasukkan ke pelaburan AHB dalam masa terdekat pada November ini, '' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman pengagihan pendapatan pertama AHB, di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Mayban Investment Management Sdn. Bhd., Nor' Azamin Salleh.

Kamalul Arifin berkata, PHB ketika ini mempunyai simpanan tanah sebanyak 60.7 hektar dan merancang menambahnya dengan membeli hartanah di kawasan-kawasan utama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Iskandar Malaysia.

Katanya, PHB akan menggunakan pendekatan membangunkan sendiri hartanah miliknya bagi meningkatkan margin keuntungan kepada pemegang unit amanah.

''Pelaburan kami tertumpu kepada kawasan komersial bernilai tinggi kerana pada peringkat awal PHB harus mencari pelaburan yang mendatangkan keuntungan dalam tempoh jangka pendek.

''Antara projek yang sedang dilaksanakan adalah New Central terletak di KL Sentral dan dijadualkan siap akhir tahun depan. Selain itu PHB juga mempunyai projek usahasama dengan MRCB di Pulau Pinang melibatkan pembinaan Penang Sentral,'' jelasnya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PHB menambah, pelaburan hartanah merupakan peluang terbaik kepada golongan Bumiputera menambah pendapatan tahunan mereka.

"Nilai hartanah di kawasan utama meningkat 50 hingga 100 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas dibeli,''ujarnya.

Tambah beliau lagi, AHB yang ditubuhkan kerajaan untuk meningkatkan pegangan hartanah oleh bumiputera, telah mencapai matlamatnya apabila hampir 70 peratus pemegang unit melabur antara RM500 hingga RM1,000.

"Sarawak merupakan negeri ketiga terbesar pelabur AHB dikuti Sabah dengan peratusan sebanyak 10.5 peratus dan 8.5 peratus. Peneraju adalah Selangor diikuti Wilayah Persekutuan,'' katanya lagi.

Utusan, 15 April 2011

Wednesday, April 13, 2011

Produk Etiqa jadi pilihan Masyarakat Cina!

Etiqa Takaful counter at One Utama (photo courtesy of Norzafry Norhalim, for more of his work, please visit http://zafryhalim.com/ )

The photo speaks a thousand words. This one was snapped at One Utama shopping complex during a weekday (last thursday i suppose). Since I’m not working full time these few months, i came to realised that our chinese friends spend much time at the shopping mall, reading books at borders, eating at ikea and drop off and pickup their kids at school, while most of my malay friends spending their quality time working to earn their living.

The photo shows a booth set up to focus on chinese customers judging from the timing of the booth, the language used on the noticeboard and the salesperson employed.

Yes, this is a booth set up by the chinese to target the chinese customer, promoting islamic finance product: TAKAFUL as an alternatives to the conventional insurance. I have nothing against them, and i want to congratulate my chinese friends whom have taken time to explore the benefit of takaful system and benefited from that.

My concern is while the non-muslims are ready to take the opportunity to get the best out of the islamic finance products (be it takaful, islamic trust funds, credit cards, financing facility etc) for whatever reasons, (mostly the reason cited are; better transperancy of the system, justice to both side of the transaction, uncertainties that are redeined etc), the response from muslim counterparts is very mixed, and not very encouraging.

I would like to encourage everyone to take the opportunity to evaluate what benefit can you get from these islamic finance products.

And to fellow muslim takaful agents, or agents of whatever islamic finance products, shouldn’t we who take the leading role in promoting the islamic concept of muamalah and products?

Or we just wait and see how others are benefiting from the system. If we do it, the rewards will be for us, in this world and in the hereafter, or we just leave others to gain and reap the commisions?

“Wa man jaahada, fa innama yujaahidu linafsih…

“And those who strive, verily the strive is for themselves….”

Source : http://zaizulazizi.wordpress.com/2010/04/20/produk-etiqa-jadi-pilihan-masyarakat-cina/

Hukum Ke Atas Produk Investment Link Menurut Islam

Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Ke Atas Produk Investment Link Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa umat Islam hari ini mempunyai banyak alternatif untuk membeli atau melabur dalam produk-produk insurans yang berlandaskan syariah.
Oleh itu, pembelian produk-produk Investment Link yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional yang menggabungkan Insurans konvensional dan pelaburan saham amanah dalam dana-dana yang tidak menepati syarak perlu dielakkan oleh umat Islam.
Keputusan (English): 

The Ruling on Investment Link Product From Islamic Point of View

Decision:

The 76th Muzakarah (Conference ) of the Fatwa Committee of the National Council for Islamic Religious Affairs Malaysia held on 21st-23rd November 2006 has discussed the ruling on investment link product from Islamic point of view. The Committee has decided that Muslims today have plenty of alternatives to purchase and invest in Islamic based insurance products.

Therefore, purchasing investment link products offered by conventional insurance companies that combine conventional insurance and investment in trust fund in any non-shariah compliance funds must be avoided by Muslims.

Jangan meminjam untuk melabur

 

KETAMAKAN: Sifat yang paling tidak baik ialah tamak kerana ia boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan ketika membuat keputusan pelaburan dengan meminjam wang untuk melabur. Sifat tamak menyebabkan pelabur merasakan mereka boleh meminjam untuk mendapatkan keuntungan daripada pelaburan dan mendapat pulangan yang lebih besar bagi membayar pinjaman asal.

Prinsip asas pelaburan menyatakan tahap pulangan terjamin yang berkekalan melebihi kadar simpanan asasi atau deposit tetap yang ditentukan oleh sistem adalah tidak masuk akal. Jangan meminjam untuk melabur. Jika anda tidak mempunyai dana yang cukup, adalah lebih baik mengumpulkan simpanan terlebih dahulu. 

Walaupun anda sudah memiliki wang yang cukup, anda dinasihatkan supaya tidak melabur untuk hanya mendapat pulangan yang cepat dan tinggi. Anda perlu berhati-hati dengan skim yang menjanjikan keuntungan dengan risiko yang minimum atau tiada risiko langsung.

Adalah lebih baik untuk tidak melabur dalam pelaburan berisiko tinggi melainkan anda sudah bersedia dan boleh menanggung perubahan yang besar - sesetengah pelaburan melibatkan tahap spekulasi yang tinggi dan anda mungkin tidak sanggup menghadapinya jika anda mempunyai komitmen kewangan dan tidak mampu untuk kerugian wang.

Percaya kepada nasihat pelaburan yang lemah: Jangan tertekan untuk membuat keputusan pelaburan dan sentiasa berhati-hati ketika berhadapan dengan taktik jualan agresif yang mendesak anda keputusan dan bertindak secara melulu. Kebanyakan pelabur masih gemar bergantung kepada tips untuk membuat duit.
Tips seperti maklumat dalaman mungkin tidak tepat sama sekali. Tips itu juga mungkin diperolehi daripada beberapa individu dan sekiranya anda tidak boleh menamakan sumber yang boleh dipercayai, maka terdapat elemen risiko yang besar di sini.

Walaupun anda mungkin boleh mempercayai asal usul atau sumber maklumat, namun berita yang telah menjadi buah mulut orang mungkin telah berubah atau bertukar daripada maklumat asal. Pada masa itu, mungkin sudah lewat untuk membuat keputusan atau mungkin anda memasuki pasaran apabila pelabur yang lebih sofistikated sudah pun keluar daripada pasaran.

Keputusan pelaburan yang bijak tidak sepatutnya berasaskan tips, tetapi berdasarkan analisis asas yang disediakan oleh penasihat profesional. Oleh itu, sebelum anda membuat sebarang keputusan pelaburan, pertimbangkan soalan-soalan berikut:

* Adakah saya mempunyai wang yang cukup untuk kecemasan?
* Sudahkah saya membuat peruntukan bagi melindungi keluarga saya sekiranya sesuatu yang tidak diduga berlaku? 
* Apakah matlamat pelaburan saya?
* Berapa banyak wang yang ada untuk saya membuat pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang? 
* Adakah saya benar-benar memahami produk yang saya labur?
* Adakah pelaburan ini sesuai dengan portfolio saya secara keseluruhan? 
* Adakah saya mempunyai fleksibiliti untuk menjual pelaburan sekiranya berlaku kecemasan?
* Adakah saya benar-benar memahami risiko yang ada dan tahu tahap toleransi terhadap kerugian? 

Penasihat kewangan mampu memahami keperluan kewangan anda yang spesifik dan memberi anda nasihat kewangan yang sesuai untuk menghindari isu-isu lazim yang disebutkan di atas. Mereka boleh memberi anda tips yang bernilai tentang cara menangani atau menguruskan pelaburan anda sepanjang masa. 

Paling penting ialah penasihat itu perlu memahami objektif peribadi anda dalam pelaburan dan menerangkan perbezaan antara produk-produk pelaburan yang ada bagi memastikan objektif dan matlamat kewangan anda secara keseluruhan dapat dipenuhi.

- Artikel ini disumbangkan oleh Alliance Bank (M) Bhd.
Sumber dari Utusan, 13 April 2011


Maklumat lanjut tentang Perlindungan Takaful, sila hubungi Perunding Etiqa terdekat anda sekarang atau hubungi saya dan  sertakan e-mail anda.


Tuesday, April 12, 2011

RAM: Krisis di Mena boleh bantu kewangan Islam Malaysia

 

KUALA LUMPUR, 12 April – Ketegangan politik di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena) berkemungkinan menyebabkan perhatian beralih ke pasaran kewangan Islam Malaysia.

Dipetik Bernama Online, Ketua Penarafan Islam RAM Rating Services Bhd, Zakariya Othman berkata, memandangkan pasaran kewangan Islam Malaysia berkembang maju, disertai dengan persekitaran undang-undang dan kawal selia yang baik serta mesra pelabur, ia berada pada kedudukan bersedia untuk menarik sebahagian besar modal dari Timur Tengah atau yang pada mulanya menuju ke rantau itu.

Syarikat-syarikat yang berpangkalan di rantau Teluk semakin memandang ke arah Malaysia dan sehubungan itu, Gulf Investment Corporation yang berpangkalan di Kuwait baru sahaja menerbitkan sukuk dalam nilai ringgit bersamaan dengan AS$164 juta pada Februari lalu,  terbitan sulung di bawah program nota jangka sederhana Islamnya yang bernilai AS$1.1 bilion.

“Pasti ada lebih banyak penerbit dan pelabur yang inginkan kestabilan yang boleh didapati dalam pasaran Islam Malaysia,” Zakariya dilaporkan berkata pada Persidangan Pelaburan & Kewangan Islam Timur Tengah Tahunan Pertama di Dubai.

Beliau juga berkata terbitan sukuk dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) amat kecil dan tidak seperti diharapkan dalam suku pertama 2011.

“Ini tidak menghairankan kerana rantau itu mengalami pelbagai revolusi,” katanya.
Kata beliau, Bahrain, yang secara tradisinya merupakan penerbit utama sukuk pada peringkat korporat dan juga kerajaan, belum melaksanakan sebarang janji niaga besar setakat ini tahun ini dan barangkali buat sementara waktu ini, memandangkan landskapnya yang tidak kondusif.

Malaysia Insider, 12 April 2011
RAM: Increasing Demand for Takaful in Malaysia

Pelaburan tidak sesukar yang dijangka

Pelaburan tidak sesukar yang dijangka

PARA pelabur hari ini berhadapan dengan pelbagai pilihan pelaburan. Kegagalan syarikat kewangan berprofil tinggi baru-baru ini serta pilihan produk yang pelbagai di pasaran, membuatkan keputusan tentang apa, di mana dan dengan siapa anda patut melabur, satu proses yang tidak mudah dilakukan. Bagaimanapun, pelaburan sebenarnya tidaklah sesukar yang dijangkakan.

Secara amnya, matlamat pelaburan adalah untuk memaksimumkan pulangan dan meminimumkan risiko. Spekulator pula sanggup berhadapan dengan tahap risiko lebih tinggi dengan harapan memperoleh keuntungan yang lebih besar berbanding biasa.

Adalah penting untuk kita membezakan antara pelaburan dan simpanan. Simpanan adalah amalan menyimpan sejumlah wang dan memperoleh sedikit faedah daripada simpanan tersebut.

Sebaliknya dalam pelaburan, anda mungkin mendapatkan semula jumlah yang anda labur atau mungkin tidak.
Anda juga berpeluang memperoleh pulangan lebih besar berbanding dengan jumlah asal yang dilaburkan. Inilah yang dinamakan persamaan risiko-pulangan yang menjadi asas kepada teori pelaburan; lebih tinggi risiko, lebih besar kemungkinan dan kecenderungan untuk pelaburan anda naik atau turun.

Bagaimanakah pula caranya bagi pelabur biasa memastikan mereka membuat pelaburan bijak untuk memaksimumkan potensi keuntungan dan pada masa sama mengurangkan risiko kerugian? Langkah pertama ialah melalui perancangan rapi yang bermula dengan menentukan matlamat pelaburan anda dan kemudiannya memahami produk pelaburan yang ada bagi memenuhi matlamat ini, selain risiko dan potensi ganjaran yang dikaitkan dengan produk tersebut. Yang paling penting untuk memahami isu-isu biasa yang dihadapi oleh pelabur iaitu kelemahan manusia yang mempengaruhi pertimbangan semasa proses pelaburan, sama ada untuk meningkatkan atau melindungi kekayaan.

Berlengah-lengah: Seperti kata pepatah, masa itu emas, pelaburan perlu dilakukan seawal mungkin kerana pulangan ke atas wang anda akan menjadi lebih besar. Namun ia tidak mudah untuk dilakukan kerana kita sering menganggap kita masih mempunyai banyak masa. Sekiranya anda dapat meluangkan masa untuk memahami konsep dan kesan kewangan, yang mana anda bukan sahaja mendapat faedah daripada pelaburan asal tetapi faedah ke atas faedah, anda sudah pasti tidak akan berlengah lagi.

Selain daripada itu, isu inflasi perlu juga diambil kira. Anda boleh menangani fenomena ekonomi ini dengan membuat pelaburan awal, tidak kira berapa jumlah yang dilaburkan. Sekiranya konsep pengiraan ini mengelirukan anda, silalah jumpa institusi kewangan untuk menerangkan kepada anda. 

Kesabaran: Satu lagi ciri yang menyebabkan kegagalan ramai pelabur. Kebanyakan pelabur tidak memiliki kesabaran ketika memasuki pasaran. Pelabur sebenarnya perlu mengambil peluang melabur semasa pasaran jatuh dan mesti menunggu untuk nilai pulih di pasaran dan bukannya bergantung spekulasi. Mereka yang tidak sabar untuk memperoleh pulangan yang cepat dan biasanya terpengaruh dengan dengan berita-berita dan spekulasi. Pelabur selalunya memilih untuk membeli semasa harga tinggi dengan anggapan apabila nilai telah meningkat, mereka boleh menjual pada harga lebih tinggi lagi. Inilah antara sebabnya para pelabur kecil kelihatan muncul semasa pasaran meningkat tetapi menghilangkan diri ketika pasaran merudum. Kunci kejayaan dalam pelaburan sebenarnya dengan memerhatikan pelbagai aset pelaburan yang anda ingin melabur dan menentukan harga beli yang sesuai dan seterusnya bersabar dan menunggu ketika pasaran mengalami kejatuhan yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

Artikel disumbangkan oleh Alliance Bank
 -Utusan , 12 April 2011

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More