Wednesday, January 5, 2011

Aminuddin Md. Desa ke PNB?


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Selepas menafikan perkhabaran bahawa beliau bakal menyertai AmIslamic Bank, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Insurans dan Takaful, Datuk Aminuddin Md. Desa kini disebut-sebut pula akan memegang jawatan penting di Permodalan Nasional Bhd. (PNB).
Menurut sumber, Aminuddin dikatakan bakal memegang jawatan pengurusan kanan kewangan Islam di PNB.
Bagaimanapun, pelantikan dan jawatan yang bakal ditawarkan kepada beliau masih belum dimuktamadkan, kata sumber itu.
Difahamkan, pelantikan itu merupakan jawatan yang baharu diwujudkan.
Aminuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan pengesahan, berkata, beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu.
''Saya tidak menerima sebarang tawaran dan buat masa ini saya masih berehat di rumah serta tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
''Buat masa ini saya tidak terikat dengan mana-mana organisasi,'' kata beliau sambil secara menambah '' Saya masih menunggu tawaran.''
Aminuddin, sebelum ini telah meletakkan jawatannya selepas memutuskan tidak melanjutkan kontraknya di syarikat insurans dan takaful terbesar di negara ini, milik Kumpulan Malayan Banking Bhd. (Maybank).
Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun dalam industri insurans, menerajui Etiqa sejak Oktober 2008.
Disember lalu, beliau menafikan spekulasi bakal menerajui AmIslamic Bank seperti yang diuar-uarkan, dan menyifatkan ia hanya khabar angin sahaja.
Peletakan jawatan Aminuddin itu dilihat mengejutkan kerana Etiqa baru sahaja selesai melaksanakan fasa terakhir penggabungannya dengan memindahkan perniagaan, aset dan liabiliti Mayban Life Assurance Bhd. kepada Etiqa Insurance Bhd..
Jenama Etiqa dilancarkan pada November 2007 selepas penggabungan Malaysia National Insurance Bhd. dan Takaful Nasional Bhd. dengan sektor insurans dan takaful Maybank dan Mayban Fortis Holdings Bhd.
Ia juga merangkumi Mayban Life Assurance Bhd., Mayban General Assurance Bhd. dan Mayban Takaful Bhd.

Utusan, 4 Jan 2011

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More