Monday, January 3, 2011

Hampir pengsan bil hospital RM23,000

Kakitangan swasta kecewa tak dimaklum caj melebihi jumlah maksimum ditanggung insurans  KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan swasta dari Kluang, Johor, hampir pengsan apabila melihat bil perubatannya mencecah RM23,000 selepas 12 hari dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Batu Pahat kerana batuk selama dua minggu.
 Roslan Husin, 46, mendakwa pakar di hospital swasta itu bagaimanapun gagal mengesan punca penyakitnya sejak dia ditahan di wad hospital itu 4 Febuari tahun lalu, selain mendakwa caj ubat dikenakan berjumlah RM9,852 mahal dan melampau.
 Lebih menyedihkan, dia mendakwa kakitangan pusat perubatan swasta itu hanya memberitahu kos perubatannya melebihi jumlah maksimum perlindungan insuransnya iaitu RM15,000 selepas 11 hari ditahan di wad.
 “Saya terkejut, marah dan hampir pengsan apabila diberitahu bil perubatan saya melebihi RM15,000 yang ditanggung syarikat insurans. Saya persoalkan kenapa hanya diberitahu selepas ia lebih daripada jumlah itu, kenapa tak beritahu awal,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.
 Roslan berkata, dia pergi ke hospital swasta setelah dinasihatkan oleh doktor klinik panel syarikatnya kerana mereka gagal mengesan punca batuk dialaminya.
 “Mereka periksa saya macam biasa, tidak buat apa-apa kecuali membuat imbasan x-ray dan masukkan wayar dalam hidung. Pakar di situ kata saya menghidap asma tetapi saya tak percaya, saya cuma batuk-batuk. Kemudian mereka datang dan beritahu bil perubatan saya mencecah RM23,000 menyebabkan saya terkejut,” katanya.
 Dia tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan namun, pihak hospital yang gagal mengesan punca penyakit tetap memintanya tinggal di wad selama dua hari lagi.
 “Saya tolak permintaan mereka menyebabkan doktor pusat perubatan pakar itu menulis surat untuk merujuk saya ke Hospital Kluang, tetapi doktor hospital kerajaan beritahu pada saya, kalau pakar pun tidak dapat kesan apa punca penyakit saya, tak guna untuk saya dimasukkan ke hospital kerajaan,” katanya.
 Katanya, selepas keluar dari hospital swasta itu dia mencuba kaedah perubatan tradisional dan penyakitnya kini sembuh.

Berita Harian, 28 November 2010

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More