Friday, January 28, 2011

Sahkan status syarikat baru melabur

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Sahkan status sesebuah syarikat sebelum anda melabur.Itulah nasihat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) kepada orang awam yang mahu melabur wang mereka agar mereka tidak menjadi mangsa kepada syarikat-syarikat palsu seperti skim cepat kaya yang menyamar sebagai syarikat pelaburan.

Bank pusat dalam senarai panduan mengenai isu-isu kewangan bagi orang awam dan pengguna hari ini, berkata sebelum melabur, seseorang perlu memastikan syarikat tersebut mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa seperti BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

BNM berkata, orang awam perlu berhati-hati dengan sebarang bentuk strategi pemasaran yang menjanjikan pulangan tinggi atau keuntungan tanpa risiko."Pulangan tinggi datang bersama risiko tinggi. Pastikan anda mengumpulkan maklumat tambahan mengenai syarikat tersebut," kata BNM.

Bagi mengesahkan status syarikat-syarikat, orang awam boleh menghubungi 
BNM di talian 1-300-88-5465 , SC (03-62048999/03-62048777) dan KPDNKK (1-800-886-800).

Mengenai perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau panggilan gurauan, terutama yang menjanjikan ganjaran tunai besar dengan syarat pemenang perlu membalas SMS itu atau menghubungi balik panggilan, orang awam perlu mengesahkan terlebih dahulu dengan memeriksa dengan BNM dan berhati-hati dengan panggilan sedemikian.

BNM juga memberi amaran kepada orang awam mengenai hadiah dan ganjaran daripada pihak yang tidak diketahui dengan membuka akaun perbankan Internet.
"Ini mungkin satu penipuan. Jika anda telah pun terlibat, hubungi dan buat laporan kepada bank anda dan pihak polis dengan segera untuk tindakan lanjut mereka. Juga sentiasa maklumkan kepada kami," kata bank pusat itu. 

Bagi perbankan Internet, pengguna dinasihatkan untuk mengelog keluar dengan betul selepas menggunakan perbankan Internet dan membuang cache memori selepas menyelesaikan urus niaga.
– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More