Tuesday, February 22, 2011

Etiqa Takaful sasar jadi peneraju peringkat global

Etiqa Takaful sasar jadi peneraju peringkat global

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa Takaful) kini meletakkan sasaran untuk menjadi peneraju industri takaful di peringkat global selepas ia berjaya menguasai pasaran tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Azuar Jimin berkata, untuk itu Etiqa Takaful perlu terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang mudah bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menyertai pelan-pelan takaful dan menerima manfaat serta perlindungan.
Menurut beliau, strateginya itu adalah seiring dengan perjanjian jenama Etiqa untuk menginsankan insurans dan takaful.
''Etiqa Takaful akan terus membawa perbezaan kepada industri dengan mempermudahkan pemahaman produk, penyertaan pelan takaful daripada segi operasi dan proses.
''Antara kelainan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Etiqa Takaful ialah menawarkan tunai sebanyak RM1,000 serta-merta untuk perbelanjaan kematian kepada para peserta dan tuntutan tanpa dokumen melalui pusat panggilan Etiqa Online,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, kelainan itu perlu di kalangan pengendali takaful memandangkan jumlah pengendali semakin bertambah, sekali gus mewujudkan persaingan.
Berikutan itu, sebagai peneraju pasaran dengan 48 peratus pegangan dalam pasaran takaful tempatan, Etiqa Takaful mahu membawa industri tersebut ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, Shahril Azuar berkata, meskipun industri tersebut menyaksikan pertumbuhan setiap tahun namun ia masih berhadapan dengan kekurangan tenaga kerja berpengalaman dan berpengetahuan dalam takaful.
Kekangan itu membabitkan dari aspek teknikal seperti operasi, syariah dan pembangunan produk.
''Kekurangan ini memberi kesan kepada para pengendali untuk menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif dan kompetitif.
''Ini akan menyebabkan semua pengendali takaful menyasarkan produk dan perkhidmatan kepada kumpulan yang sama dan tidak dapat meluaskan pasaran kepada golongan lain yang memerlukan perlindungan lebih kompleks atau berlainan,'' tambah beliau.
Beliau berkata, industri takaful juga sedang berhadapan dengan sifat ragu-ragu di kalangan orang ramai akibat tidak memahami akan kepentingan takaful hingga menyebabkan mereka tidak berminat untuk menyertainya.
Mengulas mengenai peyertaan orang Melayu, Shahril Azuar berkata, penyertaan dan permintaan daripada golongan itu semakin meningkat.
''Bagaimanapun ada ramai lagi orang Melayu yang berasa ragu-ragu dengan takaful kerana khuatir apabila tiba masanya, mereka tidak mendapat manfaat ataupun tuntutan seperti yang dikehendaki.
''Disebabkan kekurangan pemahaman dan keraguan ini, mereka meletakkan kepentingan mendapatkan perlindungan takaful sebagai keperluan terakhir dalam kehidupan.
''Ini amat merugikan kerana manfaat yang boleh diterima melalu pelan-pelan takaful adalah betul-betul berguna terutama diwaktu ditimpa musibah,'' katanya.
Utusan , 21 Feb 2011

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More