Saturday, February 19, 2011

Negara raih pertumbuhan ekonomi 7.2 peratus 2010

Pemulihan sektor pembuatan, perkhidmatan dorong kenaikan

KUALA LUMPUR: Negara mencatat pertumbuhan ekonomi lebih baik daripada jangkaan enam peratus bagi 2010, iaitu sebanyak 7.2 peratus, tertinggi sejak 2000, susulan pemulihan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, selain sektor eksport dan import yang semakin cergas.

Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan semalam berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini pula akan dipengaruhi faktor pemulihan ekonomi global yang dijangka terus tidak sekata.
Ahli Ekonomi Kanan AmInvestment Bank, Manokaran Mottain, berkata angka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) itu mengatasi jangkaannya sendiri, iaitu sebanyak 4.6 peratus.

“Kami menjangkakan pertumbuhan perlahan disebabkan keadaan sektor luaran dan percaya keadaan ini akan berterusan untuk satu hingga dua suku lagi sebelum memantul semula kepada enam peratus
pada separuh kedua.

“Pemangkin kepada pemantulan semula itu adalah perbelanjaan kerajaan yang lebih besar selepas Jun, kebanyakannya daripada Program Transformasi Kerajaan. Saya juga menjangkakan pemulihan daripada eksport, manakala perbelanjaan swasta kekal stabil,” katanya.

Ahli Ekonomi Kenanga Investment Bank, Wan Suhaimie Wan Saidie, berkata pertumbuhan pada suku keempat yang kukuh adalah di luar jangkaan, tetapi menuju ke depan, ia bergantung kepada prestasi eksport.
“Memandangkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) semakin baik daripada jangkaan, ia akan membantu, tetapi ekonomi Eropah mungkin jadi penghalang,” katanya.
Ahli Ekonomi Affin Securites, Alan Tan, pula berkata beliau menjangkakan momentum pertumbuhan yang perlahan pada separuh pertama tahun ini berikutan persekitaran luaran dan pertumbuhan sangat kukuh pada separuh pertama 2010.

“Kami menjangka ia kembali melonjak pada separuh kedua tahun ini dengan dijangkakan pertumbuhan sekitar lima peratus pada 2011. Kami juga menjangka Bank Pusat tidak akan menaikkan kadar faedah pada mesyuaratnya Mac ini, sebaliknya menaikkan kadar keperluan rizab sebagai alat polisi alternatif,” katanya.

Mengulas pertumbuhan ekonomi tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak berkata, pencapaian ekonomi Malaysia itu menunjukkan tindakan diambil kerajaan bagi mengatasi kemelut ekonomi global, membawa hasil menggalakkan sehingga dapat mencapai pemulihan ekonomi mampan.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi tahun lalu bukanlah pemulihan ekonomi yang sederhana, malah satu pertumbuhan yang kukuh dengan momentumnya turut dirasai pada tahun ini.

“Saya harap kita dapat mencapai sasaran enam peratus tahun ini, walaupun cabarannya tentu sekali amat besar sebab bila ekonomi kita terus berkembang, peningkatan selanjutnya akan lebih mencabar daripada tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kadar pertumbuhan itu.

Pada tahun lalu, sektor pembuatan mengalami pertumbuhan ketara sebanyak 11.4 peratus berbanding penguncupan 9.4 peratus pada 2009, manakala sektor perkhidmatan meningkat 6.8 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2009.

Sektor pertanian pula meningkat 1.7 peratus berbanding pertumbuhan kecil 0.4 peratus tahun sebelumnya. Sektor pembinaan mengalami penurunan pertumbuhan kepada 5.2 peratus tahun lalu berbanding 5.8 peratus pada 2009.

Sektor perlombongan dan kuari pula melantun 0.2 peratus daripada penguncupan 3.8 peratus pada 2009.

Ekonomi negara berkembang 4.8 peratus pada suku keempat tahun lalu susulan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga, 8.9 peratus pada suku kedua dan 10.1 peratus pada suku pertama untuk membolehkannya mencatatkan pertumbuhan 7.2 peratus bagi keseluruhan tahun lalu.

Berita Harian, 19 Feb2011

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More