Tuesday, March 29, 2011

Pinjaman isi rumah 5 peratus


KUALA LUMPUR 29 Mac - Pertumbuhan pinjaman isi rumah pada tahun ini dijangka hanya meningkat lima peratus berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan peraturan pinjaman.
Bank pusat itu telah membataskan pemilikan kad kredit sebelum ini dan juga menurunkan kadar pembiayaan bank kepada 70 peratus untuk pembelian rumah ketiga.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, pada tahun lalu, hutang isi rumah dalam perbankan berjumlah RM486 bilion, peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 2009.
Katanya, hutang isi rumah merujuk kepada pinjaman seperti pembiayaan kereta, kad kredit, rumah dan peribadi.
Katanya, jumlah itu mewakili 55 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM876 bilion pada tahun 2010, di mana selebihnya adalah pinjaman perniagaan.
"Langkah pengekangan itu penting dalam usaha mengawal masalah pinjaman tidak berbayar yang boleh mendatangkan krisis ekonomi," katanya selepas merasmikan BankTech Asia 2011 di sini hari ini.
Beliau turut merujuk bagaimana pinjaman tidak berbayar membawa masalah di Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya memberi kesan kepada ekonomi global.
"Pihak bank seharusnya lebih bertanggungjawab dengan memudahkan pinjaman kepada perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia boleh memacu pertumbuhan ekonomi," ujar beliau.

Utusan, 30 March 2011

Kerangka kerja takaful dilancar


KUALA LUMPUR 28 Mac - Institut Insurans Malaysia (MII) hari ini melancarkan Kerangka Keterampilan Industri Insurans dan Takaful Malaysia sebagai panduan untuk industri takaful dan insurans.

Ketua Pegawai Eksekutif MII, Khadijah Abdullah berkata, tujuan kerangka ini diwujudkan bagi merangka satu set lengkap profil kerja utama industri insurans dan takaful. 

Menurutnya, profil kerja utama tersebut adalah untuk mereka yang bekerja dalam bidang jualan, pengurusan, khidmat pelanggan, tuntutan, penaja jaminan, kepatuhan, broker dan lain-lain bahagian kritikal dalam industri berkenaan.

"Kerangka ini akan menjadi rujukan asas bagi pembangunan modal insan, selain menjadi panduan utama bahagian pengambilan kerja, perancangan kerjaya dan latihan kepada kakitangan,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kerangka berkenaan di sini hari ini.

Turut Hadir, Pengarah Urusan Bahagian Operasi Antarabangsa LIMRA/LOMA Global, Gary R. Aluise, Pengarah Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara, Ahmad Hizzad Baharuddin dan Ketua Pengarah Bahagian Pendidikan dan Pengurusan Pengetahuan ANZIIF, Clim Pacheco.

Penghasilan kerangka tersebut mendapat kerjasama dari Bank Negara Malaysia (BNM) serta dua badan penyelidikan antarabangsa iaitu LIMRA/LOMA Global dari Amerika Syarikat dan Institut Insurans dan Kewangan Australia dan New Zealand (ANZIIF).

Khadijah berkata, kerangka itu penting dalam memacu perkembangan industri insurans dan takaful negara agar lebih kompetitif serta mampu melangkah lebih jauh.

Katanya, berdasarkan kajian BNM industri berkenaan dijangka mencatat peningkatan pertumbuhan yang signifikan iaitu 12 peratus untuk insurans dan 10 peratus bagi takaful pada tahun ini.

Sementara itu, Aluise berkata, masalah utama yang dihadapi oleh industri insurans dan takaful ketika ini adalah bagaimana untuk mengekalkan kakitangan sedia bagi berkembang ke satu tahap yang lebih baik.

Utusan , 29 March 2011

Monday, March 28, 2011

Kadar inflasi 3.5 peratus tahun ini


KUALA LUMPUR 28 Mac - Kadar inflasi negara pada tahun ini diunjur berada pada sekitar 3.0 dan 3.5 peratus, dijangka melonjak lebih pantas pada separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi global.
AmResearch dalam nota penyelidikannya bagaimanapun meramalkan kenaikan itu tidak menyebabkan berlaku kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan pada Mei ini.
Menurutnya, kenaikan kadar faedah mungkin boleh dilakukan apabila peningkatan itu disebabkan oleh permintaan tetapi bukan apabila ia membabitkan kejutan bekalan untuk sementara waktu.
AmResearch menjangkakan kenaikan kadar faedah tidak akan berlaku dalam tempoh jangka pendek ini, sekurang-kurangnya sehingga September ini.
'Kami percaya peningkatan kadar inflasi dalam tempoh 22 bulan tertinggi yang dicatatkan pada Februari lalu iaitu 2.9 peratus memeranjatkan BNM.
''Peningkatan kadar inflasi ini akan menambah tekanan kepada pengurusan monetari ekonomi, khususnya ketika pulangan sebenar kadar faedah menjadi negatif buat kali pertama dalam tempoh 26 bulan.
''Tetapi kami percaya BNM tidak akan melakukan penyelarasan terhadap OPR,'' menurutnya.
Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka kekal berada antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada pertengahan pertama 2011, sebelum meningkat kepada 6.0 peratus pada separuh kedua.
Tambah firma penyelidikan itu, kadar OPR yang ditetapkan 2.75 peratus adalah pada tahap akomodatif untuk menggalakkan pertumbuhan dan mengekang tekanan inflasi kepada ekonomi.
Mengulas mengenai kenaikan kadar inflasi, AmResearch berkata, peningkatan itu disebabkan oleh kenaikan harga makanan, pengangkutan dan indeks tenaga.
Tambahnya, meskipun kadar inflasi negara menunjukkan trend menaik, tetapi kenaikan harga di Malaysia masih kekal rendah berbanding negara-negara lain seperti Singapura, China dan India.
''Perbezaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kesan lebih kecil dalam lonjakan harga komoditi dan makanan dunia,'' ujarnya.
Malah, AmResearch turut percaya kerajaan tidak akan meningkatkan harga minyak.
Utusan, 29 March 2011

Sunday, March 20, 2011

Simpanan awal jadi kunci masa depan

Simpanan awal jadi kunci masa depan
 KES: Saya (Arianna Dya) berusia 24 tahun dan baru bekerja dengan pendapatan bersih sebanyak RM2,500 sebulan tanpa sebarang komitmen hutang. Dengan gaji sebanyak itu, saya membelanjakan sebahagian besar wang gaji untuk membeli pakaian, makan di luar dan berhibur. Bagaimanakah dengan pendapatan sebanyak itu saya masih boleh membuat simpanan untuk masa depan tetapi pada masa sama masih boleh meneruskan gaya hidup semasa?

Jawapan
Saya akui individu yang berusia 20an mempunyai bajet yang cukup ketat dan sukar untuk memiliki lebihan pendapatan. Katakanlah siapa dalam lingkungan usia ini tidak suka membelanjakan wang untuk fesyen, hiburan dan gajet terkini? Kebanyakan tidak mempunyai simpanan atau perancangan kewangan kerana ia dianggap ketinggalan dengan tanggapan amalan itu hanya untuk golongan dewasa. Bagi golongan yang berusia 20an, aset yang paling penting bukan wang sebaliknya adalah masa. Tetapi tahukah anda setiap ringgit yang disimpan dalam usia 20an bernilai 10 kali ganda berbanding jika disimpan pada umur 40 tahun. Lantaran itu, usia 20an dan 30an sebenarnya adalah masa terbaik untuk menyimpan bagi masa depan, sama ada bagi diri sendiri atau pendidikan anak-anak atau ketika persaraan. Hakikatnya, mereka yang mula membuat simpanan untuk persaraan ketika berumur 20an akan mendapat banyak kelebihan meskipun dalam jumlah yang sedikit, selagi mereka membuat pelaburan berkala.

Contohnya: Individu yang menyimpan sebanyak RM4,000 setahun untuk persaraan sejak berumur 22 tahun akan memiliki RM1 juta pada usia 62 tahun, dengan mengambil kira purata pulangan sebanyak lapan peratus setahun. Sekiranya anda tidak pernah membuat simpanan dalam masa 10 tahun, anda perlu menyimpan sekali ganda kira-kira RM8,800 setahun, untuk memastikan mendapat jumlah yang sama semasa bersara nanti.
Malangnya, tidak ramai pekerja muda melepaskan peluang untuk membuat simpanan bagi persediaan persaraan awal dengan harapan faedah mampu memberi magis dan memaksimumkan simpanan. Dalam perkara ini sukar untuk menyalahkan sesiapa. Umpamanya dalam kes Arianna, beliau mempunyai minat untuk mengetahui bagaimana yang perlu dilakukan untuk simpanan jangka panjang. Kebanyakan golongan muda seperti beliau yang mendapati sukar merancang kewangan tanpa panduan mengenai wang dan cara menguruskannya. Kecuali terdapat kelas mandatori di peringkat sekolah menengah dan universiti untuk menyediakan pelajar mengenai kewangan peribadi! Di bawah ini adalah disertakan beberapa panduan bagi Arianna dan golongan yang berusia 20an untuk merancang kewangan.

1. Menyimpan selalu, kerap menyimpan.
Tahukah anda ada satu konsep lama yang perlu diketahui mengenai simpanan iaitu membayar kepada diri sendiri terlebih dahulu. Kerajaan amat memahami mengenai konsep tersebut, sebab itu kerajaan akan memotong pelbagai cukai sebelum pendapatan diserahkan kepada anda. Konsep ini boleh digunakan dalam bentuk simpanan bagi untuk manfaat diri sendiri. Tidak dinafikan kebanyakan orang akan berbelanja dahulu pendapatan, kemudian lebihan digunakan untuk simpanan. Tetapi pada realitinya, selalunya kita akan berbelanja sebanyak mungkin berbanding menyimpannya. Seharusnya kita perlu 'membayar kepada diri sendiri' - menyimpan peratusan tertentu untuk simpanan sebelum menggunakan wang anda untuk tujuan lain. Percayalah sekiranya konsep 'membayar untuk diri sendiri' dijadikan amalan, anda tidak akan terlupa untuk menyimpan.
Selain itu, menyimpan wang dalam akaun berbeza juga merupakan idea yang baik kerana ia mengekang untuk kita berbelanja lebih. Sebenarnya tiada satu masa yang boleh dianggap terbaik untuk membuat simpanan, jadi belajar untuk 'membayar kepada diri sendiri'.


2. Berbelanja mengikut kemampuan.
Adakah anda akan menerima gaji untuk kali pertama? Terasa sudah berkemampuan untuk membeli? Kebanyakan golongan muda berbelanja lebih daripada pendapatan. Mereka mahu menggunakan wang untuk membeli kereta, pakaian, makan di luar dan terperangkap dalam kehendak kehidupan. Memenuhi kehendak dalam perbelanjaan akan memberi tekanan kepada kewangan anda. Anda perlu belajar untuk membezakan keperluan daripada kehendak anda. Contohnya pinjaman rumah, bil elektrik dan makanan. Adakah anda perlu menikmati kopi berharga RM15 secawan, telefon baru serta membuat rawatan kuku? Bukan anda mampu menjalani kehidupan tanpa semua itu? Sebenarnya, Sarah, tidak ada penyelesaian mudah bagi menyeimbangkan jaminan kewangan masa depan dan menikmati gaya hidup semasa.
Beberapa disiplin fiskal mungkin diperlukan dan anda akan mendapati ia berbaloi untuk masa depan. Sekiranya anda menyukai sesuatu, paksa diri anda untuk menangguh memilikinya dalam masa dua minggu sebelum terus membelinya. Ini kerana selepas tempoh itu anda akan mendapati anda sebenarnya tidak memerlukannya. Cara lain ialah membelinya secara tunai supaya dapat merasai berbelanja sebenar.


3. Elak daripada terjerumus dalam hutang.
Anda perlu mengelakkan diri daripada membuat hutang yang tinggi. Ia sama seperti meletakkan perbelanjaan sebagai keutamaan, kuasa berbelanja boleh meningkatkan hutang. Oleh itu, membayar kad kredit perlu diletakkan sebagai keutamaan. Syabas kepada Arianna kerana ia tidak memiliki kad kredit. Sekiranya anda mempunyai hutang kredit kad yang tertangguh, elak membuat bayaran minimum. Ia kerana jika anda terikat dengan amalan itu, anda sebenarnya akan menanggung hutang dalam jangka panjang. Mempunyai hutang yang banyak pada usia muda merupakan satu kesilapan besar bagi golongan berumur 20an. Jangan kerana anda layak untuk mendapat pinjaman yang besar, bermakna anda menggunakan seluruh kapasiti untuk membuat hutang. Perlu diingatkan sekiranya anda tersalah membuat keputusan - anda akan menghabiskan usia muda anda dengan membayar hutang. Dalam usia 20an anda perlu mempunyai sejarah kredit yang baik untuk digunakan pada masa depan.

Selain itu, saya turut menasihatkan golongan muda supaya menghindarkan diri daripada terjebak sebagai penjamin. Anda hanya boleh lakukan sekiranya cukup bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk akan berlaku. Kalau tidak bersedia, jangan sesekali melakukannya!. Yang penting hindarkan diri daripada menjadi 'perangkap wang' yang kerapkali menjadikan golongan muda sebagai mangsa. Sebaliknya dalam usia 20an, anda memiliki banyak peluang untuk menyimpan kerana belum mempunyai tanggungjawab besar dalam kewangan, berbanding ketika usia 30an dan 40an. Ini kerana, pada usia itu anda perlu membayar rumah dan menyimpan untuk pendidikan anak-anak. Dengan memiliki asas simpanan kukuh yang dibuat pada usia 20an, anda akan melalui kehidupan dengan penuh keyakinan.

Oleh MUZIR KASSIM
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna, OCBC Al-Amin Bank Berhad
Utusan 19 March2011

Friday, March 18, 2011

Agihan pendapatan pelabur ASM 6.38 sen seunit


AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 6.38 sen seunit bagi skim Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.

Ia membabitkan peruntukan RM757 juta, iaitu 16 peratus lebih tinggi berbanding RM652 juta yang diperuntukkan pada tahun kewangan sebelumnya. 

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kanan), berkata sejajar matlamat tabung itu serta situasi ekonomi dan pelaburan semasa, prestasi ASM sepanjang tahun kewangan dikaji adalah memuaskan.

Katanya, sebagai sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap, pengekalan modal sentiasa menjadi keutamaan untuk skim ASM.

“Strategi pelaburan berhemah akan membantu meningkatkan kemampuan tabung ASM mengagihkan pendapatan secara konsisten pada tahun akan datang,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada tahun kewangan sebelumnya, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 6.3 sen seunit bagi skim saham amanah berkenaan.
Ahmad Sarji berkata, setakat 15 Mac lalu, dana ASM meraih pendapatan kasar RM909 juta dan daripada jumlah itu keuntungan penjualan saham dalam syarikat pelaburannya menyumbang RM407 juta juta atau 45 peratus.

Katanya, pendapatan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam beberapa syarikat pula menyumbang RM361 juta atau 40 peratus manakala baki 15 peratus atau RM141 juta lagi diraih daripada pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Beliau berkata, bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan itu, semua urus niaga ASM di pejabat dan ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 22 hingga 31 Mac ini.

“Pemegang unit boleh mengemas kini buku masing-masing bermula 1 April apabila urus niaga dibuka seperti biasa. Penyata agihan pendapatan dan laporan tahunan akan dihantar bermula pertengahan Mei,” katanya.

Saiz dana ASM yang sudah dilanggan setakat ini ialah 11.815 bilion membabitkan kira-kira 549,000 pelabur.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata agihan pendapatan ASM itu adalah wajar berbanding dengan pasaran semasa.

“Keseluruhannya, kapasiti yang kita peroleh sehingga 15 Mac ialah 7.7 sen seunit, tetapi lembaga pengarah memutuskan memberi pengagihan pendapatan 6.38 sen seunit dan selebihnya akan dibawa ke tahun hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaburan PNB setakat ini tidak terjejas dengan keadaan pasaran tidak menentu yang dicetuskan ketegangan di Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) serta bencana alam menimpa Jepun baru-baru ini.

Katanya, pelaburan luar negara PNB yang menyumbang kurang daripada 10 peratus daripada portfolio pelaburannya lebih banyak tertumpu kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Secara keseluruhannya, kami tidak terjejas dengan keadaan semasa. Kami masih tidak mengetahui sejauh mana kesan kedua-duanya kepada pelaburan PNB.

“Begitupun, PNB sentiasa membuat kajian dari semasa ke semasa sama ada kami membuat keputusan pelaburan yang baik dari segi sektor dan pasaran,” katanya

-Berita Harian, 18 Mac 2011

Tuesday, March 15, 2011

Etiqa menang lima anugerah

ETIQA Takaful Berhad (Etiqa) merangkul anugerah bagi lima kategori di Malam Anugerah Takaful ke-2 yang dianjurkan Malaysian Takaful Association baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Azuar Jimin berkata, kemenangan dalam lima kategori terbabit membuktikan Etiqa berjaya mendahului dan membuat perubahan dalam industri menerusi jenamanya.

“Acara yang berprestij ini dianjurkan untuk meraikan perkembangan pesat industri takaful tempatan dan memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik dalam bidang masing-masing.
“Kami percaya sokongan kakitangan dan kebolehan kami bekerjasama dengan rakan niaga penyumbang kejayaan Etiqa,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Etiqa Takaful Berhad juga tersenarai sebagai Pengendali Perniagaan Kumpulan Terbaik dan Pengendali Bancataful Terbaik. Sementara itu, Adventurine Agency Sdn Bhd, sebuah agensi yang mewakili Etiqa Takaful turut memenangi anugerah Produksi Million Dollar manakala Zulkifli bin Othman, ejen Etiqa Takaful, membawa pulang anugerah Agensi Million Dollar.

Harian Metro, 14 March 2011

Thursday, March 3, 2011

BNM tak naik kadar faedah


GABENOR Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz membayangkan yang bank pusat itu tidak akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat dasar monetarinya minggu depan di sebalik kenaikan harga bahan bakar dan komoditi global yang ketika ini memberikan tekanan kepada inflasi di seluruh dunia.

Beliau berkata, kadar faedah semasa adalah sesuai dan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha meningkatkan peluang pekerjaan di dalam negara.
Bagaimanapun, katanya Bank Negara akan menilai sama ada kenaikan harga komoditi dan bahan bakar ketika ini disebabkan faktor bekalan atau dipacu oleh permintaan.

 “Kita sudah berdepan paras harga bahan bakar dan komoditi seperti ini sebelum ini dan mempunyai keupayaan untuk menanganinya. Buat masa ini, kadar faedah dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan penubuhan Dewan Perniagaan Malaysia-Arab (AMCC) di Kuala Lumpur, semalam.

Sumber: Berita Harian, 4 Mac 2011

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More