Friday, March 18, 2011

Agihan pendapatan pelabur ASM 6.38 sen seunit


AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 6.38 sen seunit bagi skim Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011.

Ia membabitkan peruntukan RM757 juta, iaitu 16 peratus lebih tinggi berbanding RM652 juta yang diperuntukkan pada tahun kewangan sebelumnya. 

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kanan), berkata sejajar matlamat tabung itu serta situasi ekonomi dan pelaburan semasa, prestasi ASM sepanjang tahun kewangan dikaji adalah memuaskan.

Katanya, sebagai sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap, pengekalan modal sentiasa menjadi keutamaan untuk skim ASM.

“Strategi pelaburan berhemah akan membantu meningkatkan kemampuan tabung ASM mengagihkan pendapatan secara konsisten pada tahun akan datang,” katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada tahun kewangan sebelumnya, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan 6.3 sen seunit bagi skim saham amanah berkenaan.
Ahmad Sarji berkata, setakat 15 Mac lalu, dana ASM meraih pendapatan kasar RM909 juta dan daripada jumlah itu keuntungan penjualan saham dalam syarikat pelaburannya menyumbang RM407 juta juta atau 45 peratus.

Katanya, pendapatan pendapatan dividen daripada pelaburan dalam beberapa syarikat pula menyumbang RM361 juta atau 40 peratus manakala baki 15 peratus atau RM141 juta lagi diraih daripada pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Beliau berkata, bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan itu, semua urus niaga ASM di pejabat dan ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 22 hingga 31 Mac ini.

“Pemegang unit boleh mengemas kini buku masing-masing bermula 1 April apabila urus niaga dibuka seperti biasa. Penyata agihan pendapatan dan laporan tahunan akan dihantar bermula pertengahan Mei,” katanya.

Saiz dana ASM yang sudah dilanggan setakat ini ialah 11.815 bilion membabitkan kira-kira 549,000 pelabur.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata agihan pendapatan ASM itu adalah wajar berbanding dengan pasaran semasa.

“Keseluruhannya, kapasiti yang kita peroleh sehingga 15 Mac ialah 7.7 sen seunit, tetapi lembaga pengarah memutuskan memberi pengagihan pendapatan 6.38 sen seunit dan selebihnya akan dibawa ke tahun hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaburan PNB setakat ini tidak terjejas dengan keadaan pasaran tidak menentu yang dicetuskan ketegangan di Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) serta bencana alam menimpa Jepun baru-baru ini.

Katanya, pelaburan luar negara PNB yang menyumbang kurang daripada 10 peratus daripada portfolio pelaburannya lebih banyak tertumpu kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Secara keseluruhannya, kami tidak terjejas dengan keadaan semasa. Kami masih tidak mengetahui sejauh mana kesan kedua-duanya kepada pelaburan PNB.

“Begitupun, PNB sentiasa membuat kajian dari semasa ke semasa sama ada kami membuat keputusan pelaburan yang baik dari segi sektor dan pasaran,” katanya

-Berita Harian, 18 Mac 2011

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More