Tuesday, March 29, 2011

Kerangka kerja takaful dilancar


KUALA LUMPUR 28 Mac - Institut Insurans Malaysia (MII) hari ini melancarkan Kerangka Keterampilan Industri Insurans dan Takaful Malaysia sebagai panduan untuk industri takaful dan insurans.

Ketua Pegawai Eksekutif MII, Khadijah Abdullah berkata, tujuan kerangka ini diwujudkan bagi merangka satu set lengkap profil kerja utama industri insurans dan takaful. 

Menurutnya, profil kerja utama tersebut adalah untuk mereka yang bekerja dalam bidang jualan, pengurusan, khidmat pelanggan, tuntutan, penaja jaminan, kepatuhan, broker dan lain-lain bahagian kritikal dalam industri berkenaan.

"Kerangka ini akan menjadi rujukan asas bagi pembangunan modal insan, selain menjadi panduan utama bahagian pengambilan kerja, perancangan kerjaya dan latihan kepada kakitangan,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kerangka berkenaan di sini hari ini.

Turut Hadir, Pengarah Urusan Bahagian Operasi Antarabangsa LIMRA/LOMA Global, Gary R. Aluise, Pengarah Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara, Ahmad Hizzad Baharuddin dan Ketua Pengarah Bahagian Pendidikan dan Pengurusan Pengetahuan ANZIIF, Clim Pacheco.

Penghasilan kerangka tersebut mendapat kerjasama dari Bank Negara Malaysia (BNM) serta dua badan penyelidikan antarabangsa iaitu LIMRA/LOMA Global dari Amerika Syarikat dan Institut Insurans dan Kewangan Australia dan New Zealand (ANZIIF).

Khadijah berkata, kerangka itu penting dalam memacu perkembangan industri insurans dan takaful negara agar lebih kompetitif serta mampu melangkah lebih jauh.

Katanya, berdasarkan kajian BNM industri berkenaan dijangka mencatat peningkatan pertumbuhan yang signifikan iaitu 12 peratus untuk insurans dan 10 peratus bagi takaful pada tahun ini.

Sementara itu, Aluise berkata, masalah utama yang dihadapi oleh industri insurans dan takaful ketika ini adalah bagaimana untuk mengekalkan kakitangan sedia bagi berkembang ke satu tahap yang lebih baik.

Utusan , 29 March 2011

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More