Tuesday, April 12, 2011

Pelaburan tidak sesukar yang dijangka

Pelaburan tidak sesukar yang dijangka

PARA pelabur hari ini berhadapan dengan pelbagai pilihan pelaburan. Kegagalan syarikat kewangan berprofil tinggi baru-baru ini serta pilihan produk yang pelbagai di pasaran, membuatkan keputusan tentang apa, di mana dan dengan siapa anda patut melabur, satu proses yang tidak mudah dilakukan. Bagaimanapun, pelaburan sebenarnya tidaklah sesukar yang dijangkakan.

Secara amnya, matlamat pelaburan adalah untuk memaksimumkan pulangan dan meminimumkan risiko. Spekulator pula sanggup berhadapan dengan tahap risiko lebih tinggi dengan harapan memperoleh keuntungan yang lebih besar berbanding biasa.

Adalah penting untuk kita membezakan antara pelaburan dan simpanan. Simpanan adalah amalan menyimpan sejumlah wang dan memperoleh sedikit faedah daripada simpanan tersebut.

Sebaliknya dalam pelaburan, anda mungkin mendapatkan semula jumlah yang anda labur atau mungkin tidak.
Anda juga berpeluang memperoleh pulangan lebih besar berbanding dengan jumlah asal yang dilaburkan. Inilah yang dinamakan persamaan risiko-pulangan yang menjadi asas kepada teori pelaburan; lebih tinggi risiko, lebih besar kemungkinan dan kecenderungan untuk pelaburan anda naik atau turun.

Bagaimanakah pula caranya bagi pelabur biasa memastikan mereka membuat pelaburan bijak untuk memaksimumkan potensi keuntungan dan pada masa sama mengurangkan risiko kerugian? Langkah pertama ialah melalui perancangan rapi yang bermula dengan menentukan matlamat pelaburan anda dan kemudiannya memahami produk pelaburan yang ada bagi memenuhi matlamat ini, selain risiko dan potensi ganjaran yang dikaitkan dengan produk tersebut. Yang paling penting untuk memahami isu-isu biasa yang dihadapi oleh pelabur iaitu kelemahan manusia yang mempengaruhi pertimbangan semasa proses pelaburan, sama ada untuk meningkatkan atau melindungi kekayaan.

Berlengah-lengah: Seperti kata pepatah, masa itu emas, pelaburan perlu dilakukan seawal mungkin kerana pulangan ke atas wang anda akan menjadi lebih besar. Namun ia tidak mudah untuk dilakukan kerana kita sering menganggap kita masih mempunyai banyak masa. Sekiranya anda dapat meluangkan masa untuk memahami konsep dan kesan kewangan, yang mana anda bukan sahaja mendapat faedah daripada pelaburan asal tetapi faedah ke atas faedah, anda sudah pasti tidak akan berlengah lagi.

Selain daripada itu, isu inflasi perlu juga diambil kira. Anda boleh menangani fenomena ekonomi ini dengan membuat pelaburan awal, tidak kira berapa jumlah yang dilaburkan. Sekiranya konsep pengiraan ini mengelirukan anda, silalah jumpa institusi kewangan untuk menerangkan kepada anda. 

Kesabaran: Satu lagi ciri yang menyebabkan kegagalan ramai pelabur. Kebanyakan pelabur tidak memiliki kesabaran ketika memasuki pasaran. Pelabur sebenarnya perlu mengambil peluang melabur semasa pasaran jatuh dan mesti menunggu untuk nilai pulih di pasaran dan bukannya bergantung spekulasi. Mereka yang tidak sabar untuk memperoleh pulangan yang cepat dan biasanya terpengaruh dengan dengan berita-berita dan spekulasi. Pelabur selalunya memilih untuk membeli semasa harga tinggi dengan anggapan apabila nilai telah meningkat, mereka boleh menjual pada harga lebih tinggi lagi. Inilah antara sebabnya para pelabur kecil kelihatan muncul semasa pasaran meningkat tetapi menghilangkan diri ketika pasaran merudum. Kunci kejayaan dalam pelaburan sebenarnya dengan memerhatikan pelbagai aset pelaburan yang anda ingin melabur dan menentukan harga beli yang sesuai dan seterusnya bersabar dan menunggu ketika pasaran mengalami kejatuhan yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

Artikel disumbangkan oleh Alliance Bank
 -Utusan , 12 April 2011

3 comments:

minat dgn melabur... terima kasih kongsi info

konsep pelaburan mudah.. buy low, sell high.. sabar & jgn tamak...

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More