Sunday, April 24, 2011

Takaful Ikhlas Perlukan Pelabur Baharu

'Kami perlukan pelabur baharu'

KUALA LUMPUR 24 April - Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) memerlukan rakan pelabur baharu bagi meningkatkan modal operasi dan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa pada masa depan.

Anak syarikat MNRB Holdings Bhd. (MNRB) tersebut kini menjadi pengendali takaful ketiga terbesar di Malaysia selepas eTiQa dan Takaful Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi MNRB, Datuk Ramlan Abdul Rashid  berkata, suntikan dana sangat penting ketika ini bagi mengekalkan momentum pertumbuhan pesat Takaful Ikhlas yang melebihi 25 peratus setahun.

"Baru-baru ini MNRB menerima kemudahan kredit tanpa cagaran sebanyak RM120 juta daripada MIDF Amanah Investment Bank Bhd. dengan kadar faedah 4.25 peratus setahun.

"Daripada jumlah itu, RM100 juta disalurkan kepada Takaful Ikhlas, jumlah itu masih belum mencukupi. Oleh itu, pelupusan kepentingan merupakan cara terbaik setakat ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia sempena penyertaannya dalam Minggu Saham Amanah Malaysia yang diadakan di Ipoh, Perak.

Sebelum ini, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki kepentingan dalam Takaful Ikhlas tetapi tidak kesampaian.

MNRB kini mengadakan perbincangan dengan Allianz Malaysia Bhd. (Allianz) dan dalam masa yang sama sedang diintai beberapa syarikat insurans terkemuka luar negara.

Ramlan, kemasukan pelabur asing boleh membantu Takaful Ikhlas menerokai pasaran antarabangsa melalui jaringan pasaran yang dimiliki oleh mereka.

''Mereka sangat menginginkan kepakaran dalam pengurusan insurans berlandaskan syariah ketika ini kerana pasarannya sangat besar dan berpotensi pada masa depan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi MNRB, Ramlan berkata, syarikat berkenaan akan meneruskan momentum pertumbuhan positif tahun ini bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac lalu.

''Keputusan kewangan akan diumumkan tidak lama lagi. Apa yang boleh saya perkatakan adalah perolehan kami akan melebihi RM1.8 bilion iaitu melebihi perolehan tahun lalu.

''Jangkaan Malaysian Re merupakan penyumbang utama dengan RM1.1 bilion, Takaful Ikhlas sebanyak RM680 juta, Retakaful sebanyak RM58 juta dan selebihnya adalah pulangan daripada pelaburan luar yang dibuat,'' jelasnya.

Ditanya mengenai impak bencana tsunami di Jepun kepada MNRB, beliau berkata, kesannya tidak besar kerana penglibatannya di Jepun hanya melibatkan 1.4 peratus daripada nilai pasaran insurans negara berkenaan.

Utusan, 25 April 2011

0 comments:

Post a Comment

Al Qur'an

Listen to Quran
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More